Monday, March 30, 2009

KeNaPa ToLaK 2 NiE??? hAh!!!!

Mereka yang sayangkan Islam menolak konsep Ketuanan Melayu

Apabila kaum Kuffar gagal dalam peperangan fizikal mereka dengan umat Islam, iaitu dalam beberapa siri peperangan Salib, mereka telah mula memikirkan cara yang lebih efektif untuk memecah-belah perpaduan umat Islam dalam satu negara yang terdiri dari masyarakat majmuk. Pada mulanya mereka mengira bahawa orang Kristian yang ada dalam Daulah Khilafah akan membantu mereka dan berpihak kepada mereka dalam peperangan Salib kerana mempunyai akidah yang sama, tetapi ternyata dugaan tentera Salib ini meleset, mereka mendapat tentangan hebat dari kaum Kristian sendiri.

Penganut Kristian dalam Daulah Islamiah tidak bekerjasama dengan mereka. Mereka pada mulanya menjadi buntu, dan cuba mencari kelemahan umat Islam itu dari dalam, iaitu mereka melakukan perang tsaqafah (kebudayaan) dan Missionaries, yang mana unsur penting yang digunakan untuk memecah-belahkan umat Islam dengan ditanamnya sikap perkauman yang menebal dalam diri umat Islam. Akhirnya tubuh umat Islam yang kental dan yang selama ini dapat menangkis segala penyakit dan serangan dari luar telah dapat dilemahkan.

Ini kerana Barat telah berjaya menyuntik virus yang merosakkan sistem pertahanan badan, membunuh segala sel-sel darah putih yang selama ini membentuk imunisasi dari jangkitan luar. Virus lain yang berjaya memisah-misahkan umat Islam serta mengekalkan perpecahan antara mereka adalah assabiyyah, atau semangat perkauman.

Polling mykhilafah.com
Dalam bulan November lepas Hizbut Tahrir Malaysia telah membuat pungutan pendapat tentang masalah perkauman. Pungutan pendapat ini dilakukan dengan mengemukakan soalan undian di laman web rasmi HTM.

Soalannya berbunyi demikian- Dr. Chua Soi Lek mempersoalkan kerelevanan konsep ketuanan Melayu. Apakah pendirian anda tentang konsep ini?

* Relevan kerana ia menjaga kepentingan orang Melayu sebagai kaum pribumi.
* Tidak relevan kerana Malaysia telah lama dihuni masyarakat majmuk.
* Haram kerana ia adalah konsep assabiyyah yang dicela oleh Allah dan Rasul.

Berdasarkan pengundian yang dilakukan oleh pengunjung, didapati 92.3% telah menyedari dan berpendirian bahawa konsep assabiyyah ketuanan Melayu adalah haram kerana bertentangan dengan Islam, dan ia merupakan satu perbuatan yang dicela oleh Allah dan RasulNya.

Kenapa ketuanan Melayu dipersoal?????
Perkembangan ini agak menggalakkan di mana umat telah mula menyedari bahawa assabiyyah tidak lagi boleh dijadikan asas untuk pembentukan sebuah negara. Manakala 4.6% sahaja mengundi bahawa isu Ketuanan Melayu ini masih lagi relevan untuk menjaga kaum Melayu dan pribumi, dan 3.6% lagi mengatakan bahawa isu ini tidak relevan lagi kerana Malaysia dihuni oleh masyarakat majmuk. Keputusan dari pengundian ini menunjukkan dengan jelas terhadap sikap dan sentimen pengunjung yang mana mereka kelihatannya telah menyedari bahawa konsep assabiyyah yang ditanamkan oleh penjajah selama ini bertentangan dengan Islam.

Perkauman haram di sisi Islam

Realiti hari ini menunjukkan bahawa kaum Muslimin di seluruh dunia, walaupun mereka berkongsi aqidah, namun mereka bercerai-berai dalam politik, ekonomi dan hala tuju. Di dalam Al-Quranul Kareem, Allah s.w.t menjelaskan bahawa kaum Muslimin itu bersaudara, bukan setakat 'rasa' persaudaraan, namun kaum Muslimin pada hakikatnya merupakan satu tubuh; bersatu dalam aqidah, aspirasi politik dan ekonomi serta hala tuju. Namun, situasi ini telah cuba diubah oleh penjajah dan buat sekian lamanya dipertahankan oleh kaum Muslimin itu sendiri. Bagi Muslimin di Malaysia yang ikhlas, ketika memerhatikan realiti yang digambarkan di atas, akan dapat melihat bahawa punca persengketaan, contohnya di dalam kes Ambalat tidak lama dulu, timbul akibat dari wujudnya nation states (negara-bangsa), yang lahir setelah lenyapnya Khilafah Islam pada tahun 1924.

Malaysia dan Indonesia yang dihuni majoriti Muslim bersungguh-sungguh berebut kedaulatan atas sebuah tanah yang sebenarnya dimiliki mereka secara bersama. Mereka disirami dengan doktrin nasionalisme, kerana itulah negara-bangsa tersebut telah berhasil dimanfaatkan oleh kaum penjajah untuk memecahbelahkan negeri kaum Muslimin sehingga menjadi negara-negara kecil dan lemah dan kaum Muslimin pula bergaduh sesama sendiri. Amat sedih untuk mengakui realiti ini namun hakikatnya, di antara negara kaum Muslimin yang termasuk di dalam negara-bangsa yang dilemahkan oleh kuasa Barat tersebut adalah Malaysia dan Indonesia yang sering dikatakan sebagai serumpun.

Setelah kemasukan penjajah, kesatuan rumpun dengan aqidah yang sama yang pernah dikecapi satu masa dahulu, kini dikoyak-koyakkan dan akhirnya mereka pun menjadi lemah sehingga negara-negara penjajah kuffar dengan mudah menguasai mereka. Sesungguhnya nasionalisme jelas diharamkan oleh Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Dan tidak termasuk golongan kami orang yang menyeru kepada 'assabiyyah, berperang atas dasar 'assabiyyah, dan mati atas (sebab) 'assabiyyah". [HR Abu Daud]

Sabda baginda yang lain,

“Tinggalkanlah ia (nasionalisme/kesukuan). Ia merupakan suatu perkara yang jijik” [HR Bukhari dan Muslim]

Di dalam suatu insiden Jabir bin Abdullah Al-Ansari telah meriwayatkan apa yang berlaku di Al-Muraysi di mana golongan munafik cuba menyalakan perasaan assabiyyah di kalangan kaum Muslimin:

“Kami sedang di dalam suatu sariyyah bilamana salah seorang Muhajirin telah menendang salah seorang Ansar. Si Ansar menjerit, 'Wahai Ansar bantulah aku dan si Muhajirin juga menjerit, 'Wahai Muhajirin bantulah aku'. Mendengarkan ini Rasulullah s.a.w berkata, 'Mengapakah kamu hidupkan sesuatu dari zaman jahiliyyah?”

Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan kebusukan dan kejijikan semangat perkauman, yang membawa perpecahan di kalangan kaum Muslimin yang sebenarnya adalah satu kerana kita disatukan oleh aqidah Islam. Salah satu tentangan dan cabaran besar kepada pejuang-pejuang Islam yang bergerak untuk menyatukan umat Islam dewasa ini adalah semangat perkauman ini. Sikap ini pula banyak menjadi duri dalam daging, dengan adanya gerakan Islam yang bersifat setempat dan mempertahankan bangsa dan negara masing-masing. Sudah semestinya sempadan maya dalam pemikiran dan perasaan umat Islam dihapuskan dan digantikan dengan Khilafah Islamiyyah, sebuah negara Islam yang hakiki yang tidak lagi mengenal sempadan berdasarkan bangsa.

No comments:

Post a Comment