Wednesday, August 26, 2009

mCam2 berLaKu dI M'SiA

KEJAHILAN MEMAHAMI PERUNDANGAN MENYEBABKAN RAMAI ORANG MELAYU MAHU ISA DIMANSUHKAN: Relevankah tindakan mereka merusuh di jalanan Kuala Lumpur kerana mahu ISA dimansuhkan? Amat jelas mereka diperalatkan oleh pemimpin parti pembangkang yang mempunyai agenda tersendiri, terutama sesiapa yang menyokong perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM). Amat sedih sekali apabila remaja bangsa Melayu turut berdemontrasi dengan berkelakuan paling biadap, dan mereka tidak sedar bahawa mereka dijadikan sebagai senjata komunis yang mahu ideologi parti itu dihidupkan kembali di Malaysia.

Paling mendukacitakan ialah remaja yang terbabit terlupa selama ini. Sejak dari dalam perut ibu, mereka dijaga oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini dalam seluruh bidang kebajikan, termasuk persekolahan. Di sini amat jelas ideologi komunis telah digunakan oleh pemimpin parti pembangkang untuk menggugat kuasa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Suntikan ideologi komunis yang tidak disedari mereka yang terbabit dalam demontrasi itu tidak sepatutnya berlaku jika pemimpin parti pembangkang mempunyai rasa taat setia kepada negara ini. Kerana tidak ada rasa taat dan jauh sekali kesetiaan kepada negara, maka, pemimpin pembangkang sanggup mengunakan ideologi komunis dalam menggugat keamanan negara seperti apa yang pernah dilakukan PKM ketika Zaman Darurat dahulu.

Keadaan tersebut kini mahu dibangkitkan semula dengan mendalangi demontrasi seperti mendesak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan. Peranan yang dimainkan oleh parti pembangkang, seperti DAP sebelum ini dengan mencetuskan HARTAL di Pulau Pinang dan peristiwa berdarah 13 Mei masih tidak mampu menyedarkan Orang Melayu. Dalam melaksanakan agenda DAP, Melayu dalam parti Keadilan dan PAS sanggup melupakan dua peristiwa besar itu yang sepatutnya tidak berlaku jika DAP mempunyai semangat cintakan negara ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ideologi komunis kini sudah menular dalam jiwa mereka yang berdemontrasi di jalanan Kuala Lumpur yang bertujuan supaya negara dilihat seolah-olah berada dalam keadaan tidak tenteram. Pihak berkuasa keselamatan perlu tegas dalam menghalang usaha dalang-dalang yang ditunjangi fahaman komunis. Tindakan tegas dengan menggunakan ISA dalam mengamankan negara adalah untuk membendung cetusan yang cuba dibawa penyokong parti-parti pembangkang yang tidak mempedulikan keselamatan masyarakat lain ketika berdemontrasi.

Imej buruk yang ditunjukkan pemimpin dan penyokong pihak pembangkang dalam tindak tanduk berdemontrasi mahukan ISA dimansuh perlu dijadikan sebagai kayu pengukur dan penilaian rakyat semua kaum di negara ini. Adakah kepimpinan seperti itu yang kita mahukan menerajui Malaysia? Kepada pemimpin berbangsa Melayu yang turut dalam demontrasi itu -sedarlah apa yang berlaku dalam peristiwa 15 hari PKM bermaharajalela - membunuh dan menyeksa rakyat tanpa mengira kaum. Perlukah sejarah itu diulangi kembali?

Cintakan Allah Sebagai Sumber Kekuatan!!!!!!

Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada selain Allah, maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh.

Badan itu akan hancur, tetapi roh tetap hidup. Roh sepatutnya menjaga dan mengawasi semua anggota badan. Pastikan setiap inci pergerakannya selari dengan kehendak Allah taala. Anggota tidak akan bertindak selagi kita (roh) tidak mengarahkannya.

Lebih sesuai untuk menterjemahkan roh sebagai hati kerana hatilah memainkan peranan yang terpenting dalam melahir dan menzahirkan seni praktikal.

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya Ulumuddin bahawa hati itulah raja yang segala anggota taat dan patuh kepadanya.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nukman ibn Basyir r.a. sabda Rasulullah s.a.w.,

“ Di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baiknya ia, maka baiklah jasad itu. Apabila jahat, nescaya jahatlah seluruh jasad itu. Ianya adalah hati.”


Demikian itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh membaikkan hati dan memelihara juga memuliharanya daripada segala bintik-bintik noda yang menghitamkan hati.

Keperluan badan manusia terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara ini cenderung menyalahi akal dan melampaui batasan. Oleh itu, kemahuan ini perlulah disekat dan dibatasi dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w..

Manusia pasti terpesona dan terpikat melihat warna-warni pelangi yang menghiasi dunia, tergodanya mereka dengan ‘syurga’ dunia yang menghancur dan membinasakan diri mereka akhirnya. Melainkan insan-insan bertuah yang diselamatkan Allah. Mereka berhati-hati supaya tidak tergoda. Pintalah keselamatan daripada Allah. Rayulah agar Dia memelihara kita daripada segala kejahatan, mungkin datang dari lubuk hati, atau nafsu, syaitan, juga syaitan manusia.

Usaha tidak terhenti di situ, kita mestilah berusaha memelihara hati dan diri daripada perbuatan haram yang akan mengotorkan hati dan langsung akan menjarakkan relisi kita dengan Tuhan.

Tuhanlah matlamat kita.

Ke manakah kita sehari-hari? Menuju ke mana?

Tidak lain tidak bukan kembali kepada Pencipta, Allah al-Khaliq. Manusia yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya akan menemui kegagalan dan kemuflisan dalam merencah rencah-rencah delima hidup ini.

Cinta kepada Allah merupakan sumber dan benteng kekuatan yang akan menghalang kita daripada terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Untuk menguatkan agar cinta kita tidak tergugat, perlulah ia dibajai dengan sifat-sifat yang mulia, terutamanya sifat zuhud. Bagi membolehkan kita sampai ke matlamat yang sebenar demi kebahagian di dunia dan akhirat, perlulah kita memandang dunia ini dengan pandangan yang betul.

Kenapa perlu berzuhud dengan dunia?

Zuhud dalam ertikata melihat dunia ini tidak lebih dari kepentingan akhirat.
Mencari hasil dunia jangan sampai lagha kepada Tuhan.

Kekayaan tidak menghitamkan keimanan selagi kayanya kita ini semata-mata kerana Allah taala.
Namun sekiranya lar-lar harta itu membuatkan kita semakin leka akan hakikat diri, sesungguhnya kekayaan ini bakal menghancurkan pemiliknya seperti anai-anai menghancurkan kayu.

Firman Allah, “Kekayaan telah melalaikanmu,” ayat pertama dalam surah al-Takasur ini jelas larangan kekayaan yang menyebabkan kita lagha dan lalai kepada Allah.

Adapun kekayaan yang dipentaskan oleh keimanan kepada Allah pasti akan menghasilkan hasil yang lumayan untuk ummah. Insya-Allah!

Kenapa perlu berzuhud? Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.h. menyimpulkan tipu daya dunia kepada penduduknya dengan pelbagai cara.

Antaranya:

PERTAMA


Ia berpura-pura kekal bersama kita.

Hakikatnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan, “ Selamat tinggal,” kepada kita.

Seperti bayang-bayang yang tampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.

KEDUA

Dunia ini berpusing-pusing seperti ahli sihir yang menawan tetapi jahat.

Dia berpura-pura cinta kepada kita, kemudian dia kembali kepada musuh dan meninggalkan kita yang kesedihan dan berputus asa. Inilah wajah dunia.

Senjata seterusnya untuk membentengi iman dan menyuburkan cinta kita kepada Allah taala ialah tafakur. Merenung memikirkan ciptaan Allah. Ambil sejenak waktu, renunglah bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan sirna lenyap sama sekali!

Maka nampaklah betapa dunia ini berupa tipuan belaka. Tiada kalimah yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan betapa ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang tetap dan kekal.

Membuat rancangan untuk sepuluh tahun mendatang, sedangkan mungkin dia akan berada di dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari sahaja lagi! Siapa tahu? Siapa yang membiarkan dirinya ditenggelamkan lautan keindahan dunia fana ini, dihempas ombak nafsu yang menggila, suatu saat nanti tangannya akan menyumbatkan makanan ke dalam mulutnya dan kemudian memuntahkan semula! Kelazatannya hilang sirna. Bagai helang yang hilang sayapnya.

Harta semakin betimbun rimbun. Jiwa semakin rimas mencecah usia tua. Sayangnya untuk meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi. Semakin pedih dan sedihlah hendak meninggalkan semua itu.

Kelak tidak berharga serimis pun! Kepedihan meninggalkan dunia, di akhirat juga akan terasa pedihnya. Kebahagiaan saat meninggalkan dunia, di akhirat pun ada bahagia menanti. Insya-Allah.

Seseorang telah menasihati Ibrahim ibn Adham dengan mengemukakan beberapa nasihat iaitu:

SATU : Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

DUA: Orang yang banyak makannya janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat daripadanya.

TIGA : Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya.

EMPAT:Orang yang melupakan hal kematiannya janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

LIMA : Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

ENAM : Orang yang mencari keredaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredaan Allah kepadanya.

Demikianlah nasihat gurunya kepadanya.

Janganlah teragak-agak lagi untuk menjernihkan hati. Baikilah hubungan kita dengan Allah. Usah dicemari lagi, semoga Dia menjaga hati juga jiwa juga roh kita kesemuanya. Amien.

Wallahu'alam.

(Rujukan: Al-Hub ila Allah karangan Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi , Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib)